fb fb fb fb fb

Kempen vaksinasi polio di utara Gaza ditangguhkan

Foto Reuters

BERLIN, 23 Oktober - Kempen vaksinasi polio di utara Gaza ditangguhkan akibat serangan bom Israel, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu.

Fasa terakhir seharusnya bermula hari ini bertujuan untuk memvaksin lebih daripada 119,000 kanak-kanak di wilayah itu.

"Keadaan semasa, termasuk serangan berterusan ke atas infrastruktur awam, terus membahayakan keselamatan dan pergerakan penduduk di utara Gaza, menjadikannya mustahil bagi keluarga untuk membawa anak-anak mereka untuk divaksin, dan pekerja kesihatan untuk beroperasi," kata agensi PBB itu dalam satu kenyataan.

Kelewatan dalam pemberian dos kedua untuk kanak-kanak boleh membahayakan usaha untuk menghentikan penularan.

"Ini juga boleh menyebabkan penyebaran virus polio yang lebih lanjut di Jalur Gaza dan negara jiran, dengan risiko lebih banyak kanak-kanak yang terjejas," kata agensi tersebut.

Pada Selasa, agensi pelarian PBB bagi rakyat Palestin menyeru gencatan senjata sementara untuk membolehkan pemindahan dari kawasan utara Gaza, di mana ia menyatakan "orang ramai hanya menunggu untuk mati" selepas tiga minggu serangan Israel.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN