fb fb fb fb fb

Krisis air di Basra, Iraq cetus panik penduduk

Seorang penduduk Basra menadah air yang dibekalkan Jabatan Air Basra mengikut jadual yang telah ditetapkan. -REUTERS

BAGHDAD, 10 Julai -Krisis air yang semakin memuncak di bandar Basra, selatan Iraq, menyebabkan sebilangan penduduk turun kejalanan untuk protes kerana sukar mendapatkan bekalan air bersih untuk aktiviti harian dan minuman.

Basra yang bergantung dengan sumber air dari Sungai Shatt al-Arab teruk terjejas ekoran tahap kemasinan air yang semakin meningkat sehingga sebahagian besar bekalan air di bandar itu tidak dapat diminum.

"Kami telah membeli air untuk masa yang lama, bukan sahaja sekarang, setiap tujuh hari untuk 5,000 hingga 6,000 dinar (sekitar AS$4.5), dan ia tidak mencukupi," kata seorang penduduk Basra, Mahdi Naji.

Seorang lagi penduduk Raad Mohammed, mendakwa harga air terus melonjak disebabkan permintaan yang tinggi.

"Harga satu tan air telah melonjak daripada sekitar AS$5 kepada AS$11 dengan vendor kapal tangki dan loji penyahgaraman bergelut untuk memenuhi permintaan," katanya.

Menurut ketua Projek Air Al-Abbas, Aqeel Yarallah, stesen pembersihan air tradisional tidak lagi dapat menampung kandungan garam yang meningkat ekoran cuaca kemarau.

"Sungai itu hampir tidak terkawal sepenuhnya kerana kepekatan garam yang semakin meningkat. Hanya separuh daripada bekalan air biasa Basra kini sampai kepada penduduk," katanya.

Sementara itu, Jabatan Air Basra memaklumkan catuan bekalan air dilaksanakan, dengan isi rumah hanya menerima bekalan pada masa yang ditetapkan.

Pergantungan Iraq pada sungai Tigris dan Euphrates menjadi lebih tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Paras air di kedua-dua sungai itu telah menurun dengan ketara, diburukkan oleh empangan hulu yang kebanyakannya berada di Turkiye.

Pada April 2024, Presiden Turkiye Tayyip Erdogan yang melawat Baghdad, komited mengenai perjanjian pengurusan air selama 10 tahun untuk menangani keperluan Iraq dengan lebih baik.

Bagi menangani krisis itu, kerajaan Iraq menjanjikan projek penyahgaraman air laut yang dianggarkan bernilai AS$3 bilion di Basra dan beberapa loji air masin yang lebih kecil. -REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI