fb fb fb fb fb

Koridor kemanusiaan dibedil, Ukraine dakwa Rusia langgar gencatan senjata

LVIV, 9 Mac- Kerajaan Ukraine mendakwa tentera Rusia membedil koridor kemanusiaan yang dijanjikan kepada orang awam untuk keluar dari zon konflik sekitar pelabuhan Mariupol, semalam.

Menurut jurucakap kementerian luar Ukraine Oleg Nikolenko dalam ciapan di laman Twitter, masih ramai orang awam yang terkandas tanpa makanan akibat laluan yang dijanjikan terus dibom tentera penceroboh.


(Orang awam dipindahkan selepas koridor kemanusiaan dibedil/REUTERS)

"Gencatan senjata dilanggar! Tentera Rusia kini membedil koridor kemanusiaan dari Zaporizhzhia ke Mariupol."

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy dalam pada itu berkata, pihaknya telah menyediakan 13 buah bas bagi memindahkan orang awam namun tidak boleh bergerak susulan pengeboman berterusan tentera Rusia.

Tambahnya, keadaan bertambah rumit apabila bekalan makanan terutama air terputus sejak kawasan tersebut dikepung. Setakat semalam, seorang kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat dehidrasi.

Sementara itu, Rusia menafikan telah mengebom koridor kemanusian tersebut dan bertegas bahawa ia operasi ketenteraan yang menyasarkan aset tentera Ukraine yang menjadikan orang awam sebagai "perisai".

Pelarian yang melarikan diri dari Ukraine melonjak melebihi 2 juta orang masuk hari ke-13 pencerobohan Moscow terhadap Kiev.

Ia disifatkan Pertubuhan Bangsa Bersatu sebagai salah satu penghijrahan terbesar akibat konflik.

Untuk rekod, seramai 1,335 orang awam dilaporkan telah menjadi korban dengan 861 lagi cedera, sejak pencerobohan 24 Februari lalu. -REUTERS

Media Baharu