fb fb fb fb fb

21 terbunuh dalam serangan udara di Ukraine, Rusia cuba gagalkan koridor kemanusiaan

(Gambar diambil pada 7 Mac 2022 menunjukkan penyelamat Ukraine mengalihkan runtuhan di sebuah sekolah yang musnah akibat serangan udara Rusia/AFP)

KIEV, 8 Mac- Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh termasuk dua kanak-kanak dalam serangan udara di Sumy, Ukraine; memetik sumber pihak berkuasa.

“Mayat 21 orang termasuk dua kanak-kanak ditemukan di lokasi serangan,” kata pendakwa raya wilayah menerusi Facebook. Terdahulu sembilan orang dilaporkan terkorban akibat serangan tersebut.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku menjelang pelaksanaan koridor kemanusian yang dijadualkan pada Selasa waktu tempatan.

Kawasan dari Sumy ke Poltova adalah koridor kemanusiaan yang ditetapkan untuk membolehkan orang awam dibawa keluar dari zon perang termasuk orang Cina, India dan warga asing lain.

Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk menyalahkan Rusia cuba menggagalkan rancangan laluan tersebut.

Menurut pasukan penyelamat Ukraine, serangan udara di Sumy berhampiran sempadan Rusia di bahagian timur Kiev itu berlaku lewat Isnin.

“Pesawat musuh secara licik menyerang bangunan pangsapuri," menurut pasukan penyelamat di Telegram selepas tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.00 malam.

(Seorang wanita sedang berehat selepas melalui jambatan yang rosak ketika berpindah dari bandar Irpin, barat laut Kyiv, pada 7 Mac 2022/AFP)

Sumy yang terletak 350 kilometer dari timur Kiev dilaporkan telah mengalami serangan sengit sejak beberapa hari lalu, namun tiada laporan segera mengenainya.

Vereshchuk berkata, Kementerian Pertahanan Rusia telah bersetuju untuk memulakan pelaksanaan koridor kemanusiaan pada awal pagi Selasa menurusi surat kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

“Kami mendapat maklumat bahawa pihak Rusia telah merancang menggagalkan rancangan koridor kemanusiaan itu,” tambahnya.

“Manipulasi sedang dilakukan untuk memaksa penduduk menggunakan laluan lain yang tidak diselaras dan berbahaya,” kata Vereshchuk.

Katanya, berdasarkan perancangan koridor kemanusiaan itu akan turut digunakan untuk penghantaran bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Berdasarkan jadual, konvoi pertama sepatutnya memulakan perjalanan pada 10.00 pagi iaitu sejam selepas apa yang diharapkan Ukraine sebagai gencatan senjata yang akan berakhir pada pukul 9.00 malam. -AFP

Media Baharu