fb fb fb fb fb

Koridor kemanusiaan: 35,000 penduduk yang terperangkap di bandar Ukraine dibawa keluar

(Penduduk awam dari utara Kiev dipindah keluar menerusi koridor kemanusiaan yang dipersetujui Rusia-Ukraine/AFP)

UKRAINE, 3 Mac- Sekurang-kurangnya 35,000 penduduk awam Ukraine dipindahkan keluar dari bandar-bandar Ukraine yang dikepung tentera Rusia.

Menurut Presiden Volodymyr Zelensky menerusi mesej video pada Rabu, pelaksanaan tiga koridor kemanusiaan membolehkan penduduk meninggalkan bandar Sumy, Enerhodar dan beberapa kawasan di Kiev.

Zelensky amat berharap proses pemindahan boleh diteruskan sehingga Khamis waktu tempatan apabila tiga lagi laluan selamat akan dibuka di bandar Mariupol, Volnovakha di bahagian tenggara dan Izium di timur Ukraine.

Pemindahan itu berjaya diteruskan apabila Moscow dan Kiev mencapai persetujuan pada Rabu untuk membuka lebih banyak laluan selamat sekali gus memberi harapan kepada penduduk awam yang terperangkap di bandar-bandar keluar dari zon pertempuran.

Terdahulu, lebih 5,000 orang dipindahkan keluar dari Sumy, bandar yang dihuni kira-kira 250,000 penduduk terletak berhampiran sempadan Rusia dan menyaksikan pertempuran sengit sejak beberapa hari lalu.

Namun usaha membawa keluar penduduk dari bandar pelabuhan Mariupol, yang dikepung tentera Rusia beberapa hari lalu, gagal atas beberapa masalah dan kedua-dua pihak menyalahkan antara satu sama lain.

Pada Rabu, serangan udara Rusia menyebabkan sebuah hospital kanak-kanak musnah mencetuskan kemarahan Barat, dua minggu selepas pencerobohan Moscow terhadap bekas jirannya Soviet.

Menurut Datuk Bandar Mariupol lebih 1,200 orang awam terbunuh ketika tentera Rusia mengepung bandar itu lebih seminggu.

Agensi pelarian PBB UNHCR telah menganggarkan jumlah pelarian mencecah antara 2.1 hingga 2.2 juta. -AFP


(Tentera Ukraine sedang berkawal di bandar Kiev/AFP)

Media Baharu