fb fb fb fb fb

Ketidaksamaan pendapatan di Afrika Selatan kekal paling tinggi di dunia

(Protes penduduk terhadap pekerja warga asing atau disebut "Operation Dudula" di Alexandra pada 7 Mac 2022/AFP)

JOHANNESBURG, 10 Mac- Bank Dunia melaporkan Afrika Selatan kekal sebagai negara 'paling tinggi jurang kekayaan' di dunia dengan kaum menjadi penentu utama dalam komuniti yang menyaksikan 10% penduduk memiliki lebih 80% kekayaan negara.

"Afrika Selatan... adalah 'negara paling tidak sama rata di dunia, dalam kedudukan pertama kalangan 164 buah negara, menurut institusi yang berpangkalan di Washington itu berdasarkan laporan terbaharu 'Inequality in Southern Africa'.

Hampir 30 tahun selepas berakhirnya dasar Apartheid, "kaum kekal sebagai penentu utama ketidaksamaan di Afrika Selatan disebabkan faktor pendidikan dan pasaran buruh," kata Bank Dunia.

Apabila kaum dianggap sebagai faktor jurang pendapatan, laporan itu menyebut, "ia menyumbang kepada ketidaksamaan pendapatan sebanyak 41 peratus, manakala faktor pendidikan, 30 peratus meskipun nilai itu berkurangan."

"Legasi kolonialisme dan apartheid, yang berakar umbi dalam pengasingan kaum dan ruang, terus memperkukuh ketidaksamaan itu."

Negara jiran yang membentuk Kesatuan Kastam Afrika Selatan -- Botswana, Eswatini, Lesotho dan Namibia -- ke semuanya berada di kedudukan paling atas senarai negara paling tidak sama rata di dunia.

Faktor jantina turut memainkan peranan penting. Di Afrika, secara umum pendapatan wanita 30% kurang daripada lelaki meskipun memiliki taraf pendidikan sama.

Jurang gaji antara lelaki dan wanita mencapai 38 peratus di Namibia dan Afrika Selatan.

Agihan tanah pertanian yang tidak sekata juga menjadi faktor yang mendorong ketidaksamaan terutama di kawasan luar bandar.

Di Namibia, 70% daripada 39.7 juta hektar tanah pertanian komersial "masih milik orang Namibia berketurunan Eropah", kata Bank Dunia. -AFP


(Gambar fail Bank Dunia di Washington/AFP)

Media Baharu