SEOUL, 23 Mei- Korea Utara telah memulakan siasatan berhubung kemalangan yang berlaku semasa pelancaran kapal perang baharu dengan menilai kerosakan itu sebagai "tidak serius".
Menurut Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA), pemeriksaan bahagian bawah dan dalaman kapal perang mengesahkan bahawa, tidak seperti pengumuman awal, tiada lubang dibuat di bahagian bawah kapal itu.
“Papan kanan badan kapal tercalar dan sejumlah air laut mengalir ke bahagian buritan kapal melalui saluran penyelamat.
"Tahap kerosakan pada kapal itu "tidak serius" namun perlu dijelaskan punca kemalangan," katanya.
Semalam, Korea Utara memaklumkan "satu kemalangan serius berlaku" pada Rabu semasa majlis pelancaran kapal pemusnah tentera laut seberat 5,000 tan yang baru dibina itu.
Akibatnya, bahagian bawah kapal itu hancur dengan pemimpin Kim Jong Un menyifatkan kemalangan tersebut sebagai "tindakan jenayah".
Korea Utara turut menyalahkan individu yang tidak berpengalaman dan kecuaian operasi.
Susulan itu, pengurus di bandar pelabuhan timur Chongjin di mana kemalangan itu berlaku, Hong Kil Ho, telah dipanggil oleh penguat kuasa undang-undang.
Sementara itu, Tentera Korea Selatan berkata, kapal perang yang baru dibina itu dipercayai dilengkapi sama dengan kapal kelas pemusnah seberat 5,000 tan, Choe Hyon, yang dilancarkan Korea Utara bulan lalu.
"Choe Hyon boleh dibangunkan dengan bantuan Rusia -- mungkin sebagai pertukaran untuk Pyongyang mengerahkan ribuan tentera untuk membantu Moscow melawan Ukraine," katanya.
Penganalisis berkata kapal perang yang terlibat dalam kemalangan itu mungkin juga telah dibina dengan bantuan Rusia.
Korea Utara mendakwa Choe Hyon dilengkapi dengan "senjata paling berkuasa", dan ia akan beroperasi awal tahun depan. - AFP