SEOUL, 28 April-Korea Utara buat pertama kali mengesahkan bahawa negara berkenaan telah menghantar tentera ke Rusia.
Agensi berita rasmi KCNA pada Isnin melaporkan bahawa askar-askar Pyongyang membantu Moscow merampas semula wilayah yang berada di bawah kawalan Ukraine di kawasan sempadan Kursk.
Pengakuan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Rusia mengesahkan penglibatan Korea Utara.
Sebelum ini, agensi perisikan Korea Selatan dan Barat telah lama melaporkan bahawa Pyongyang menghantar lebih 10,000 askar untuk membantu di Kursk tahun lalu.
"Sub-unit angkatan tentera kami, telah mengambil bahagian dalam operasi membebaskan kawasan Kursk mengikut arahan ketua negara Republik Demokratik Rakyat Korea Utara", " kata Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Korea Utara dalam laporan KCNA.
Keputusan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, untuk menghantar tentera itu dikatakan dibuat berdasarkan perjanjian pertahanan bersama.
"Mereka yang berjuang demi keadilan adalah semua wira dan lambang kehormatan tanah air," kata Kim menurut laporan KCNA.
Kim menambah bahawa sebuah tugu memperingati "kejayaan pertempuran" akan dibina di ibu negara, dan beliau juga merujuk kepada "batu nisan askar-askar yang gugur," sekali gus mengesahkan secara terbuka bahawa terdapat tentera Korea Utara telah terbunuh dalam pertempuran.
Korea Utara perlu mengambil langkah-langkah nasional penting untuk menghormati dan menjaga keluarga veteran perang," kata Kim.
Menurut Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, operasi untuk membebaskan kawasan Kursk bagi menangkis pencerobohan berani pihak berkuasa Ukraine terhadap Persekutuan Rusia telah berjaya diselesaikan."
Ketua Turus Tentera Rusia, Valery Gerasimov, pada Sabtu memuji "keberanian" tentera Korea Utara, yang menurutnya "memberikan bantuan besar dalam mengalahkan kumpulan angkatan bersenjata Ukraine."
Sementara itu, pakar percaya bahawa keputusan untuk mendedahkan penghantaran tentera ini telah dipersetujui lebih awal antara Korea Utara dan Rusia.
"Kedua-dua negara bersetuju untuk mendedahkan penghantaran ini kerana mereka menganggap manfaat daripada pampasan lebih besar daripada potensi kerosakan kepada imej antarabangsa mereka," kata Yang Moo-jin, presiden Universiti Pengajian Korea Utara di Seoul, kepada AFP.
Dengan menjanjikan manfaat negara kepada tentera yang dihantar, Korea Utara juga boleh "meredakan konflik dalaman," katanya, sambil menambah bahawa langkah ini menunjukkan keyakinan Pyongyang.
"Korea Utara mungkin ingin menunjukkan bahawa kemenangan tersebut dicapai dengan bantuan mereka, seterusnya memperoleh ganjaran lebih besar daripada Rusia," tambah Yang.
Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Pyongyang menyatakan bahawa operasi itu membuktikan "persahabatan ketenteraan kukuh antara Republik Demokratik Rakyat Korea dan Rusia," menggunakan akronim rasmi untuk nama Korea Utara.
"Persoalan sekarang ialah Adakah Kim Jong Un akan menghadiri sambutan Hari Kemenangan Rusia pada 9 Mei?", kata Lim Eul-chul, profesor di Institut Pengajian Timur Jauh, Seoul.
Rusia telah berjanji untuk mengadakan sambutan Hari Kemenangan terbesar pada 9 Mei ini bagi memperingati 80 tahun kekalahan Nazi Jerman, termasuk perarakan tentera besar-besaran dan ucapan oleh Presiden Vladimir Putin.
"Walaupun kebarangkalian Kim menghadiri acara itu kelihatan agak rendah, ia tidak boleh ditolak sepenuhnya," kata Lim.
"Penawanan semula wilayah Kursk boleh menjadi alasan positif bagi kehadiran Kim pada sambutan Hari Kemenangan itu," tambah Yang.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata bahawa tentera Ukraine masih bertempur di Kursk walaupun Moscow mendakwa "membebaskan" wilayah barat tersebut.-AFP.