GENEVA, 28 April- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin menggesa supaya diwujudkan kod etika yang melarang petugas kesihatan daripada melakukan amalan mutilasi kemaluan wanita (FGM).
Dalam garis panduan baharu, WHO menekankan peranan penting petugas kesihatan dalam mengesan amalan FGM serta memberi sokongan perubatan kepada mangsa.
Bagaimanapun, WHO mendedahkan terdapat bukti mendakwa petugas kesihatan di beberapa tempat di dunia turut terlibat secara langsung dalam melaksanakan prosedur tersebut.
"FGM merupakan pencabulan hak kanak-kanak perempuan yang serius dan mengancam kesihatan mereka," kata Ketua Bahagian Seksual dan Kesihatan Reproduktif WHO, Pascale Allotey.
Beliau menegaskan bahawa petugas kesihatan perlu menjadi ejen perubahan, bukan pelaku, dan bertanggungjawab menyediakan rawatan perubatan berkualiti kepada mangsa.
FGM melibatkan pembuangan sebahagian atau keseluruhan alat kelamin luar wanita dan boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan, pendarahan, kemandulan serta risiko ketika bersalin.
Menurut UN Women, kira-kira 230 juta perempuan di seluruh dunia telah menjalani FGM, kebanyakannya ketika masih kecil sebelum mencapai usia baligh.
WHO menyatakan bahawa perubatanisasi FGM boleh menyebabkan amalan ini seolah-olah diterima, sekali gus menjejaskan usaha menghapuskannya.
Dalam garis panduan tersebut, WHO turut menekankan keperluan melatih dan melibatkan doktor, jururawat serta bidan sebagai ejen perubahan untuk mencegah dan merawat kes FGM.-AFP