PYONGYANG, 13 Jun 2025 – Sebuah kapal pemusnah tentera laut Korea Utara yang mengalami kerosakan dalam pelancaran gagal bulan lalu telah berjaya dilancarkan semula, dengan pemimpin negara itu, Kim Jong Un, menghadiri majlis tersebut, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap pada Jumaat, memetik media rasmi Korea Utara.
Majlis pelancaran semula kapal yang dinamakan Kang Kon itu berlangsung pada Khamis di limbungan kapal Rajin terletak di utara kawasan pelancaran asal yang gagal, menurut laporan tersebut.
Pada 21 Mei lalu, Pyongyang mengesahkan berlaku "kemalangan serius" ketika percubaan pertama untuk melancarkan kapal pemusnah seberat 5,000 tan di pelabuhan Chongjin.
Insiden itu menyebabkan bahagian bawah kapal yang baru dibina itu rosak teruk.
Kim Jong Un menyifatkan kejadian tersebut sebagai "tindakan jenayah akibat kecuaian mutlak", dan media rasmi Korea Utara melaporkan penahanan empat pegawai berkaitan insiden itu.
Tentera Korea Selatan menganggarkan kapal pemusnah baharu ini setanding dari segi saiz dan persenjataan dengan kapal kelas pemusnah seberat 5,000 tan Choe Hyon, yang didedahkan Korea Utara pada akhir April lalu.
Kim juga telah meluluskan rancangan untuk membina dua lagi kapal pemusnah kelas sama pada tahun hadapan, menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) yang dipetik oleh Yonhap.-AFP