fb fb fb fb fb

Korea Utara lancar beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat

Foto Reuters

SEOUL, 17 Mei- Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah laut di luar pantai timurnya pada Jumaat, kata tentera Korea Selatan,

Pelancaran itu merupakan siri terbaharu ujian senjata dijalankan Pyongyang dalam beberapa bulan kebelakangan.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata peluru itu dilepaskan dari bandar pantai timur Wonsan, manakala penyiar awam Jepun, NHK melaporkan peluru berpandu jarak dekat kelihatan telah dilancar dan sudah jatuh.

"Korea Utara telah melancarkan peluru berpandu balistik dan pelayaran serta roket taktikal dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menggambarkannya sebagai sebahagian daripada program untuk meningkatkan keupayaan pertahanannya," kata seorang pegawai kerajaan.

Sebelum ini, kakak kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berkata senjata taktikal buatannya adalah bertujuan sebagai penghalang terhadap pencerobohan tentera Korea Selatan, selain turut menafikan bahawa Pyongyang mengeksport senjata berkenaan.

Pegawai AS dan Korea Selatan menuduh Korea Utara menghantar senjata ke Rusia untuk membantu Moscow dalam menambah bekalan untuk digunakan dalam perangnya menentang Ukraine.

Bagaimanapun, Moscow dan Pyongyang menafikan tuduhan itu.

Pelancaran peluru berpandu itu adalah hari sama lawatan Presiden Rusia, Vladimir Putin ke bandar Harbin di timur laut China.

Putin dan Presiden China, Xi Jinping mengkritik Washington dan sekutunya atas gerakan "intimidasi dalam bidang ketenteraan" terhadap Korea Utara pada pertemuan di Beijing pada Khamis.

Tentera udara Korea Selatan berkata jet pejuang AS dan Korea Selatan telah melakukan latihan bersama pada Khamis di wilayah tengah, untuk menguji dan meningkatkan kebolehgerakan serangan dan pertahanan.-REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM