fb fb fb fb fb

Afrika Selatan lepaskan puluhan ekor badak sumbu putih selatan ke habitat asal

Foto AFP

JOHANNESBURG, 17 Mei- Puluhan ekor badak sumbu telah dilepaskan ke habitat asal di Afrika Selatan sebagai langkah pertama kepada inisiatif untuk membebaskan 2,000 ekor ke dalam konservasi di seluruh benua, kata NGO African Parks.

Badak sumbu putih selatan telah diburu sehingga hampir pupus pada akhir abad ke-19 namun beransur-ansur pulih selepas berdekad-dekad usaha perlindungan dan pembiakan dijalankan.

"Rancangan hebat untuk mengembalikan semula 2,000 ekor badak sumbu putih selatan ke kawasan terlindung yang selamat akan berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang," kata NGO yang berpangkalan di Johannesburg pada Khamis.

40 ekor badak sumbu pertama telah didermakan kepada Munywana Conservancy di wilayah KwaZulu-Natal untuk meningkatkan populasi badak sumbunya dalam projek yang dinamakan "Rhino Rewild".

Menteri Alam Sekitar, Barbara Creecy berkata kerajaan Afrika Selatan sangat menyokong inisiatif terhadap spesies haiwan terancam berkenaan.

Pada bulan September, African Parks, sebuah pertubuhan amal yang dibiayai oleh penderma termasuk EU, USAID dan yayasan antarabangsa bebas, membeli ladang badak sumbu Afrika Selatan seluas 7,800 hektar (1,9300 ekar), yang terbesar di dunia yang merupakan rumah kepada 2,000 haiwan.

Afrika Selatan, yang menempatkan hampir 80 peratus badak sumbu dunia, adalah kawasan pemburuan haram yang didorong oleh permintaan dari Asia, di mana tanduk digunakan dalam perubatan tradisional untuk kesan terapeutiknya.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM