fb fb fb fb fb

Korea Utara lancar 2 peluru berpandu balistik ke Laut Jepun

(Siaran berita ujian peluru berpandu Korea Utara/AFP)

SEOUL, 19 Julai- Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke Laut Jepun.

Pelancaran itu dibuat beberapa jam selepas sebuah kapal selam bersenjata nuklear Amerika Syarikat berlabuh di Korea Selatan buat kali pertama sejak beberapa dekad.

Agensi berita Yonhap memetik kenyataan Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) memaklumkan, peluru berpandu itu dilancarkan awal pagi ini dari Sunan.

Dalam kenyataan berasingan, Pengawal Pantai Jepun turut mengesahkan perkara itu.

JCS mengecam pelancaran itu sebagai "tindakan provokasi penting" dan jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian Pertahanan Jepun juga merekodkan pelancaran itu.

"Kami sedang menganalisis butiran, tetapi kami menganggarkan ia telah berada di luar zon ekonomi eksklusif Jepun, timur Semenanjung Korea," katanya dalam tweet.


(Foto fail AFP)

Pelancaran itu adalah yang terbaru dalam siri ujian senjata oleh Pyongyang dan berlaku ketika Seoul dan Washington meningkatkan kerjasama pertahanan bagi menghadapi ketegangan yang semakin memuncak dengan Korea Utara.

Pada hari Selasa, mereka mengadakan Mesyuarat Kumpulan Perundingan Nuklear yang pertama di Seoul dan mengumumkan kapal selam nuklear Amerika mengadakan lawatan pelabuhan ke Busan buat kali pertama sejak 1981.

Tindakan itu dijangka mencetuskan tindak balas tegas daripada Korea Utara yang membantah bahawa aset nuklear AS ditempatkan di sekitar semenanjung Korea.

Pelancaran itu juga dilakukan kurang seminggu selepas pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengendalikan sendiri tembakan peluru berpandu balistik antara benua terbaharu negara itu.

Diplomasi antara Pyongyang dan Seoul telah terhenti dan Kim telah menggesa untuk meningkatkan pembangunan senjata, termasuk nuklear taktikal.

Sebagai tindak balas, Seoul dan Washington telah mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan jet siluman canggih dan aset strategik AS.

Pelancaran itu juga dilakukan ketika Washington mengesahkan bahawa seorang askar AS dipercayai telah ditahan oleh Korea Utara selepas menyeberangi sempadan.-AFP

Media Baharu