fb fb fb fb fb

Korea Selatan sambut kelahiran anak panda kembar pertama

(FOTO REUTERS)

SEOUL, 12 Julai- Sebuah zoo di Korea Selatan mengumumkan kelahiran anak panda kembar pertama di negara itu minggu lalu.

Kembar betina itu dilahirkan di Taman Tema Everland berhampiran ibu kota Seoul pada Jumaat, dedah zoo itu dalam satu video yang disiarkan di saluran YouTubenya.

Video yang dimuat naik pada Selasa, menunjukkan ibu Panda, Ai Bao, sedang bersalin, berguling-guling di sekeliling sangkarnya sebelum melahirkan dua anak panda yang kecil.

Kembar pertama seberat 180 gram dan yang kedua 140 gram, kata zoo.

"Kedua-dua ibu panda dan kembar itu berada dalam keadaan sihat," kata wakil dari zoo itu dalam satu kenyataan.

"Ai Bao menjaga anaknya dengan baik, menggunakan pengalamannya dengan Fu Bao."

Fu Bao, dilahirkan pada Julai 2020, ialah kakak kepada kembar itu dan panda gergasi pertama yang dilahirkan di Korea Selatan melalui pembiakan semula jadi.

Video YouTube kelahiran anak kembar itu telah mendapat 640,000 tontonan sejak ia dimuat naik.

"Selamat datang ke dunia! Tahniah kepada keluarga Bao dan terima kasih kepada datuk dan semua kakitangan yang menjaga mereka," tulis seorang penonton.

Seorang lagi mengulas: "Air mata terus mengalir kerana saya sangat bangga dengan Ai Bao! Syabas, Ai Bao!"

Ai Bao dan Le Bao, bapa panda, tiba di Korea Selatan pada 2016 sebagai hadiah negara daripada Presiden China Xi Jinping.

Fu Bao dijangka dikembalikan ke China selewat-lewatnya Julai tahun depan, kata zoo itu.

China telah lama menggunakan 'diplomasi panda', dengan menghadiahkan haiwan itu kepada pelbagai negara, biasanya untuk meneruskan matlamat dasar luarnya.

Beijing hanya meminjamkan panda kepada zoo asing, yang biasanya mesti memulangkan mana-mana anak dalam tempoh beberapa tahun selepas kelahiran mereka untuk menyertai program pembiakan negara itu.-REUTERS


(FOTO REUTERS)

Media Baharu