fb fb fb fb fb

Korea Selatan ragu pembinaan kapal selam nuklear di AS

Foto AFP

SEOUL, 3 Disember – Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung berkata adalah “sangat sukar secara realistik” untuk membina kapal selam berkuasa nuklear negaranya di Amerika Syarikat, meskipun wujud rancangan kerjasama pertahanan antara Seoul dan Washington.

Korea Selatan dijangka menyertai kelompok kecil negara yang mengoperasikan kapal selam berkuasa nuklear selepas menerima kelulusan Washington untuk mendapatkan bekalan bahan api nuklear terhad.

Namun lokasi pembinaan kapal selam tersebut masih belum diputuskan.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini menyatakan di platform Truth Social bahawa kapal selam nuklear Korea Selatan itu akan dibina di Philadelphia Shipyards di Amerika Syarikat.

Namun Presiden Lee pada sidang media menegaskan perkara itu “masih memerlukan rundingan berterusan”, sambil menambah bahawa pembinaan di AS adalah hampir mustahil bagi pihak Seoul.

“Dari perspektif kami, sangat sukar secara realistik untuk membina kapal selam di sana,” katanya.

“Saya faham kehendak untuk melaksanakannya, tetapi kita perlu menilai sama ada ia benar-benar boleh dilaksanakan.”

Lee menegaskan bahawa pendirian Korea Selatan sejak awal adalah untuk membina kapal selam tersebut di dalam negara menggunakan teknologi sendiri.

“Apa yang kami minta bukanlah ‘binalah untuk kami’ atau ‘berikan kami teknologi itu’,” jelasnya.

“Pendirian kami mudah. Kami akan membinanya dengan teknologi kami sendiri. Apa yang kami perlukan hanyalah kelulusan bekalan bahan api nuklear yang kini diharamkan.”

Teknologi kapal selam nuklear AS merupakan antara rahsia ketenteraan paling sensitif dan dilindungi ketat di dunia, menjadikan sebarang pemindahan teknologi kepada negara lain amat terhad.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI