fb fb fb fb fb

Doctors Without Borders rayu dunia terima pesakit Gaza: “keperluan terlalu besar”

Foto AFP

GENEVA, 3 Disember – Doctors Without Borders (MSF) merayu negara-negara di seluruh dunia menerima puluhan ribu penduduk Gaza yang memerlukan pemindahan perubatan segera.

Dengan memberi amaran bahawa ratusan pesakit sudah meninggal dunia ketika menunggu untuk dibawa keluar.

“Keperluannya sangat besar,” kata Hani Isleem, penyelaras pemindahan perubatan Gaza bagi organisasi kemanusiaan itu.

Beliau berkata jumlah pesakit yang diterima negara-negara setakat ini hanyalah “setitik dalam lautan”.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 8,000 pesakit telah dipindahkan keluar dari Gaza sejak perang tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, manakala lebih 16,500 masih memerlukan rawatan di luar wilayah Palestin itu.

Namun Isleem berkata angka sebenar jauh lebih tinggi kerana data itu hanya merangkumi pesakit yang berdaftar. “Anggaran kami adalah tiga hingga empat kali ganda daripada jumlah tersebut,” katanya dalam temu bual di ibu pejabat MSF di Geneva.

Setakat ini, lebih 30 negara telah menerima pesakit Gaza tetapi hanya beberapa negara – termasuk Mesir dan Emiriah Arab Bersatu – mengambil jumlah yang besar.

Di Eropah, Itali menerima lebih 200 pesakit, manakala France dan Jerman masih belum menerima seorang pun.

Switzerland pada November menerima 20 kanak-kanak Gaza dalam dua kumpulan.

Isleem mengiringi 13 kanak-kanak minggu lalu, terdiri daripada empat bayi dengan kecacatan jantung kongenital serius, pesakit kanser dan mangsa kecederaan yang memerlukan pembedahan ortopedik kompleks.

Beliau berkata tanpa pemindahan itu, “ada yang tidak akan sempat diselamatkan”, memaklumkan bahawa beberapa bayi dibawa terus ke dewan bedah sebaik tiba untuk mengelakkan “kerosakan kekal”.

Namun, beliau meluahkan kebimbangan bahawa keadaan di Gaza yang semakin kritikal telah menyebabkan kadar pemindahan menjunam.

Pada awal krisis, sekitar 1,500 pesakit sebulan dipindahkan; tetapi selepas Israel menutup lintasan Rafah pada Mei 2024, purata bulanan merosot kepada sekitar 70.

Walaupun kadar penolakan permohonan oleh Israel telah menurun daripada 90% kepada sekitar 5%, Isleem berkata angka itu masih terlalu tinggi. “Mereka tidak sepatutnya menghalang mana-mana pesakit yang perlu keluar untuk mendapatkan rawatan.”

Beliau menyalahkan proses kelulusan yang panjang dan “sering dipolitikkan” oleh negara-negara yang mempertimbangkan penerimaan pesakit Gaza. “Mereka mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan… tetapi pesakit tidak boleh menunggu.”

Lebih 900 pesakit telah meninggal dunia ketika menunggu pemindahan sejak Oktober 2023.

Angka yang dianggap Isleem sebagai “pasti lebih rendah daripada realiti”.

Isleem turut menegur bahawa “99.9 peratus negara hanya meminta kanak-kanak”, sedangkan majoriti pesakit (tiga per empat) ialah orang dewasa. Beliau juga mengkritik syarat-syarat lain, termasuk larangan membawa ahli keluarga lelaki dewasa.

Beliau menggesa negara-negara agar “menghentikan budaya memilih mengikut senarai” dan fokus kepada menyelamatkan nyawa tanpa diskriminasi.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI