SEOUL, 23 Mei – Tiada sebarang rundingan antara Seoul dengan Washington berhubung penarikan semula tentera Amerika Syarikat (AS) dari negara itu.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menerusi satu kenyataan memaklumkan, tahun lalu, kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian baharu bagi tempoh lima tahun.
"Antara yang dipersetujui termasuk pembahagian kos penempatan tentera Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan di mana Seoul bersetuju untuk menaikkan sumbangannya sebanyak 8.3 peratus kepada AS$1.1 bilion bagi tahun 2026. Kehadiran pasukan tentera AS di Korea Selatan juga telah banyak membantu mengekalkan kedudukan pertahanan yang kukuh bagi mengekang pencerobohan dan provokasi dari Korea Utara," jelas kenyataan tersebut.
Desas desus berkaitan penarikan semula tentera AS muncul susulan laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa pengunduran separa kini sedang dipertimbangkan.
Amerika Syarikat, sebagai sekutu keselamatan jangka panjang Korea Selatan, kini menempatkan kira-kira 28,500 anggota tenteranya di negara itu. - AFP