fb fb fb fb fb

Korban di Gaza terus meningkat, lebih 54,000 kematian direkodkan

Keadaan di Khan Yunis/ REUTERS

GAZA, 28 Mei- Angka kematian penduduk Palestin di Gaza melebihi 54,000 orang sejak tercetusnya konflik antara Hamas dan Israel.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, dalam tempoh 24 jam lalu, seramai 79 rakyat Palestin terbunuh manakala 163 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas beberapa kawasan di Gaza.

Rekod itu tidak termasuk hospital-hospital di wilayah Pentadbiran Utara Gaza disebabkan kesukaran untuk mengakses kawasan tersebut.

Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa terdapat sejumlah mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah berikutan serangan berterusan dan ketiadaan laluan selamat.

Ia sekali gus menyukarkan operasi menyelamat pasukan ambulans dan pertahanan awam.

Sejak Israel menyambung semula serangan besar-besaran pada 18 Mac lalu, sekurang-kurangnya 3,901 penduduk Palestin terbunuh manakala 11,088 lagi cedera.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak perang bermula pada Oktober 2023 meningkat kepada 54,056 orang, dengan seramai 123,129 orang mengalami kecederaan setakat ini.

Wilayah Gaza terus berada dalam keadaan kritikal, dengan keadaan keselamatan yang merosot serta operasi ketenteraan berterusan rejim Zionis menyukarkan usaha bantuan dan akses kepada penduduk terjejas.

Setakat Ahad lalu Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) melaporkan serangan Israel di Gaza menyebabkan hampir 180,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dalam tempoh hanya 10 hari.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI