fb fb fb fb fb

Konflik Rusia - Ukraine: Loji nuklear milik Ukraine jadi sasaran terbaharu

(FOTO AFP)

ENERHODAR, 5 Mac - Loji nuklear milik Ukraine menjadi sasaran terbaharu susulan konflik Rusia - Ukraine.

Loji berkenaan merupakan yang terbesar di Eropah terbakar awal pagi.

Bagaimanapun menurut pasukan kecemasan Ukraine, mereka berjaya memadamkan kebakaran yang tercetus di bangunan Loji Nuklear Zaporizhzhia kira-kira pukul 6.20 pagi waktu tempatan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam perkembangan terbaharu itu.

Menurut pasukan kecemasan Ukraine lagi, mereka berjaya memadamkan kebakaran setelah tentera Rusia memberi kebenaran untuk memasuki kawasan berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Loji Nuklear berkata, reaktor tersebut dalam pengubahsuaian dan tidak beroperasi namun terdapat bahan nuklear didalamnya.

Loji Nuklear Zaporizhzhia membekalkan 40 peratus tenaga kepada Ukraine dan menempatkan 6 reaktor.

Secara keseluruhan Ukraine mempunyai 15 reaktor nuklear.

(Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi pada sidang media khas mengenai keadaan Loji Nuklear Zaporizhzhia di Ukraine/AFP)

Sekiranya satu daripada reaktor tersebut terbakar, ia boleh mengakibatkan bencana terburuk di Eropah berbanding peristiwa letupan loji nuklear Chernobyl.

Loji Nuklear Zaporizhzhia terletak di selatan Ukraine dan 525 kilometer dari Chernobyl.

Sementara itu, pihak agensi Nuklear Ukraine pada Jumaat menyebut tiada kebocoran radiasi akibat kebakaran loji Zaporizhzhia.

Tambah agensi itu, tiada sebarang perubahan dikesan di kawasan berkenaan.

Perkara yang sama turut dilaporkan kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menerusi Twitter yang menjelaskan kebakaran tidak menjejaskan loji nuklear.

Media Baharu