PORT LOUIS, 13 November-Ketua pembangkang Mauritius, Navin Ramgoolam, dilantik sebagai Perdana Menteri pada Selasa, selepas parti gabungannya memenangi hampir kesemua kerusi parlimen dalam pilihan raya umum.
Gabungan Alliance du Changement (ADC) pimpinan Ramgoolam mencatat kemenangan besar dengan meraih 60 daripada 62 kerusi di Dewan Negara, lapor penyiar negara, Mauritius Broadcasting Corporation.(MBC).
Ramgoolam, 77, menyatakan bahawa tindakan pertamanya sebagai Perdana Menteri ialah membongkar apa yang beliau panggil sebagai sistem pengintipan negara agar rakyat Mauritius bebas berbicara.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri dalam tiga penggal sebelum ini.
“Kami juga akan berusaha untuk mengatasi kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dengan memantau nilai rupee dengan lebih baik, menghapuskan Cukai Nilai Tambah (VAT) ke atas barangan asas, serta menghapuskan nepotisme, rasuah dan penindasan,” kata Ramgoolam kepada pemberita.
Suruhanjaya Pilihan Raya Mauritius melaporkan bahawa ADC memperoleh 62.6% undi dalam pilihan raya yang berlangsung pada Ahad, mendorong Perdana Menteri Pravind Jugnauth, untuk meletakkan jawatan.
Meskipun memacu pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.0% tahun lalu, populariti Jugnauth dilihat merosot teruk disebabkan krisis kos sara hidup dan dakwaan rasuah.
Jugnauth mengakui kekalahan pada Isnin, dan berkata bahawa beliau telah berusaha sebaik mungkin untuk negara berpopulasi 1.3 juta itu. Namun gabungannya, Alliance Lepep, mengalami kekalahan besar.
Alliance Lepep hanya memperoleh 27.8% undi, menurut keputusan yang dikeluarkan oleh Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (OEC).
Parti Organisation du Peuple de Rodrigues memenangi dua kerusi di Pulau Rodrigues dengan 50.0% undi, kata OEC.
Bulan lalu, Jugnauth, yang telah memegang jawatan Perdana Menteri sejak 2017, berjaya merundingkan perjanjian dengan Britain untuk menyerahkan Kepulauan Chagos sambil mengekalkan pangkalan udara Diego Garcia milik AS-UK.
Awal bulan ini, kerajaan Jugnauth menyekat platform media sosial sehingga sehari selepas pilihan raya, dengan alasan keselamatan negara selepas perbualan antara tokoh awam bocor. Sekatan tersebut dibatalkan sehari kemudian.-REUTERS