WASHINGTON, 13 November- Presiden AS yang baharu dipilih, Donald Trump, pada Selasa mengumumkan pelantikan John Ratcliffe, sekutu rapatnya yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Perisikan Negara (DNI) untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Ratcliffe pernah menjadi perisik utama negara dari akhir Mei 2020 sehingga Trump meninggalkan pejabat pada Januari 2021.
Baru-baru ini, beliau menjadi pengerusi bersama di Pusat Keselamatan Amerika, sebuah badan pemikir yang mendukung dasar Trump, dan memberi nasihat kepada bekas presiden Republikan itu mengenai polisi keselamatan negara semasa kempen pilihan raya 2024.
“Saya yakin John akan menjadi individu pertama yang pernah berkhidmat di kedua-dua jawatan perisikan tertinggi negara kita.
"Beliau akan menjadi pejuang yang berani untuk hak-hak Perlembagaan semua rakyat Amerika, sambil memastikan tahap Keselamatan Negara tertinggi, dan keamanan melalui kekuatan,” kata Trump dalam kenyataan berkaitan pengumuman pelantikan tersebut.
Ratcliffe, bekas anggota Dewan Perwakilan, berjanji dalam sesi pengesahan sebagai Pengarah DNI pada Mei 2020 bahawa beliau akan menyediakan "perisikan yang objektif dan tepat pada masanya" dalam peranannya itu.
Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk memantau isu-isu lain seperti kekuatan ketenteraan Iran, program senjata nuklear Korea Utara dan campur tangan asing dalam pilihan raya AS.
Semasa pengesahan Ratcliffe sebagai DNI pada 2020 oleh Senat yang dikuasai Republikan, semua senator Demokrat menolak pelantikannya, memetik kekurangan pengalaman dan kecenderungan politiknya.
Dengan Republikan sekali lagi menguasai dewan itu tahun hadapan, dan pengalaman beliau sebagai Pengarah DNI, pelantikannya dijangka berjalan lancar kali ini.
Baru-baru ini, Ratcliffe mengkritik pendekatan pentadbiran Presiden Demokrat Joe Biden terhadap konflik di Asia Barat.
Dalam sebuah artikel yang diterbitkan pada bulan Jun, beliau berhujah bahawa ancaman Biden untuk menghalang penghantaran senjata ke Israel akibat tindakan ketenteraan di Gaza telah meletakkan sekutu utama dalam bahaya. Beliau juga mendakwa pentadbiran Biden tidak cukup tegas terhadap Iran.
Ratcliffe juga dikenali sebagai pendukung ketegasan terhadap China semasa tempoh perkhidmatannya sebagai DNI.
Perisikan adalah jelas bahawa Beijing berniat untuk mendominasi AS dan seluruh dunia secara ekonomi, ketenteraan dan teknologi,” tulis Ratcliffe dalam artikel Disember 2020 dalam Wall Street Journal.
Beliau terkenal sebagai pembela Trump paling lantang semasa prosiding yang diketuai Demokrat yang membawa kepada pemecatan Trump pada 2019 atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan halangan Kongres. Senat yang diketuai Republikan kemudiannya membebaskan Trump, satu-satunya presiden AS yang dipecat dua kali.
Trump sering mempunyai hubungan yang tegang dengan agensi perisikan, termasuk CIA, apabila menuduh kakitangan mereka terlibat dalam "deep state," istilahnya untuk pegawai kerajaan tetap yang dituduhnya mempunyai agenda sendiri.-REUTERS