(FOTO AFP)
NAIROBI, 14 Ogos- Kesatuan Afrika (AU) hari ini mengadakan mesyuarat mengenai krisis di Niger berikutan rampasan kuasa pada 26 Julai yang menggulingkan Presiden Mohamed Bazoum.
"Majlis Keamanan & Keselamatan AU bermesyuarat untuk menerima maklumat terkini mengenai situasi di Niger dan usaha menanganinya," kata badan pan-Afrika itu dalam satu catatan di laman X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Pertemuan berlangsung di ibu pejabat AU di ibu negara Habsyah, Addis Ababa, katanya.
Mereka yang hadir termasuk ketua Suruhanjaya AU, Moussa Faki Mahamat serta wakil dari Niger dan blok Afrika Barat, ECOWAS.
Minggu lalu, Faki menyatakan kebimbangan mendalam tentang penahanan Bazoum, khususnya layanan buruk pemimpin rampasan kuasa yang disifatkan tidak boleh diterima.
Semalam, rejim tentera Niger berikrar untuk mendakwa Bazoum yang dipilih secara demokratik kerana "pengkhianatan tinggi" dan menyelar ECOWAS kerana mengenakan sekatan ke atas negara itu.
Bazoum, 63, dan keluarganya telah ditahan di kediaman rasmi presiden di Niamey sejak rampasan kuasa. -AFP
(Kesatuan Afrika bincang krisis Niger/Fail AFP)