NEW YORK, 29 Julai - Lima individu, terbunuh termasuk seorang pegawai polis dan juga suspek tembakan, dalam insiden berkenaan yang berlaku di tengah Manhattan pada Isnin.
Datuk Bandar New York, Eric Adams, menerusi hantaran di platform X, menyatakan rasa dukacita atas kehilangan anggota polis berkenaan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch, memaklumkan bahawa situasi telah berjaya dikawal.
Kawasan kejadian di Park Avenue dan East 51st Street turut dikawal ketat oleh pihak berkuasa.
Seorang saksi, Shad Sakib, memberitahu AFP ketika sedang bersiap untuk pulang beliau mendengar pengumuman melalui sistem pembesar suara agar semua pekerja berlindung di tempat masing-masing.
Menurutnya, individu bersenjata dilihat memasuki bangunan bersebelahan sambil membawa senjata automatik.
Puluhan anggota polis dikerah ke lokasi, dengan sebahagian bersenjata lengkap dan memakai jaket kalis peluru.
Beberapa ambulans dan helikopter turut dikelihatan berada di kawasan tersebut, yang biasanya sibuk dan menjadi pusat kepada hotel dan ibu pejabat korporat ternama seperti Colgate Palmolive dan KPMG.
Gabenor New York, Kathy Hochul, turut memaklumkan beliau telah menerima taklimat mengenai insiden tersebut. -AFP