fb fb fb fb fb

Kes MH17: Australia, Belanda mula tindakan undang-undang

SYDNEY, 14 Mac- Australia memaklumkan negara itu memulakan tindakan undang-undang bersama Belanda terhadap Russia berhubung nahas pesawat MH17 milik Malaysia Airlines yang ditembak jatuh lapan tahun lalu.

Tindakan itu akan difailkan menerusi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, mendakwa Russia bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa dalam nahas membabitkan pesawat berkenaan.

Tindakan menerusi agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu ada salah langkah ke hadapan, sebagai usaha memperjuangkan keadilan bagi 298 mangsa, termasuk 38 warga Australia.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan bersama Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Menteri Luar Australia, Marise Payne, hari ini.

“Jadi hari ini, kami mengumumkan bahawa kami telah memulakan prosiding undang-undang terhadap Persekutuan Rusia dalam Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa untuk kejatuhan pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014. Ini adalah langkah penting dalam memperjuangkan kebenaran, keadilan dan akauntabiliti untuk semua daripada mangsa MH17, termasuk 38 warga Australia yang maut. Rusia sehingga kini enggan mengakui dan bertanggungjawab atas insiden ngeri ini.

“Kes ini, kes kami, adalah berdasarkan penemuan dan bukti daripada pasukan penyiasat bersama, yang terdiri daripada agensi penyiasatan Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, serta lembaga keselamatan Belanda. Penemuan dan bukti itu jelas menunjukkan bahawa penembakan peluru berpandu yang membawa jatuh pesawat MH17 adalah berpunca daripada Persekutuan Rusia.

"Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine baru-baru ini yang telah kami kutuk secara konsisten dengan sekeras-kerasnya, menguatkan keperluan untuk meminta Rusia bertanggungjawab atas tindakan antarabangsanya yang mengerikan. Tidak dinafikan bahawa pencerobohan Rusia telah menjadi peringatan yang menyakitkan kepada mereka yang kehilangan orang tersayang dalam penerbangan MH17, ” kata Marise.


(Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Menteri Luar Australia, Marise Payne dalam satu sidang media/ Foto REUTERS)

Tindakan bersama di bawah Artikel 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa itu berasingan dengan perbicaraan kes pembunuhan diterajui Belanda terhadap empat suspek dituduh menembak jatuh pesawat terbabit.

MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, di ruang udara timur Ukraine yang dikuasai puak pemberontak.- REUTERS

Media Baharu