fb fb fb fb fb

Kes campak melonjak di Eropah- WHO

FOTO HIASAN/ AFP

COPENHAGEN, 24 Januari- Kes campak melonjak di Eropah iaitu peningkatan hampir 45 kali ganda pada 2023 berbanding tahun sebelumnya, kata agensi kesihatan PBB.

Tahun lalu, sebanyak 42,200 kes direkodkan dan PBB menggesa usaha vaksinasi segera diperluas untuk menghentikan penularan kes.

Kira-kira 41 negara daripada 53 Pertubuhan Kesihatan Sedunia termasuk di rantau Eropah melaporkan penyakit berjangkit itu, di mana pada 2022 sebanyak 941 kes telah didaftarkan.

Kadar vaksinasi terhadap penyakit itu menurun semasa pandemik COVID-19.

Rusia dan Kazakhstan mencatatkan kes paling tinggi, dengan 10,000 kes direkodkan dari Januari hingga Oktober tahun lalu.

Di Eropah Barat pula, Britain mempunyai paling banyak kes dengan 183 kes.

WHO juga berkata terdapat hampir 21,000 dimasukkan ke hospital dan lima kematian berkaitan campak dalam tempoh Januari-Oktober dan ini disifatkan amat membimbangkan.

Kira-kira 1.8 juta bayi di rantau Eropah tidak diberi vaksin campak antara 2020 dan 2022.

"Adalah penting bahawa semua negara bersedia untuk mengesan dan bertindak balas tepat pada masanya terhadap wabak campak, yang boleh membahayakan kemajuan ke arah penghapusannya," kata WHO.

Pada 2021, dianggarkan terdapat 128,000 kematian akibat campak di seluruh dunia, kebanyakannya dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun yang kurang divaksinasi atau tidak divaksinasi.

WHO menganggarkan bahawa vaksin campak telah membantu mencegah 56 juta kematian antara 2000 dan 2021.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI