fb fb fb fb fb

Kes baharu selesema burung tidak jejas operasi penternakan Brazil

Carlos Fávaro/ REUTERS

BRASILIA, 27 Mei- Kes baharu selesema burung dalam kalangan haiwan liar di Brazil tidak menjejaskan operasi penternakan komersial negara itu.

Menteri Pertanian Brazil Carlos Fávaro berkata, pihak berkuasa turut menjalankan siasatan terhadap satu lagi kes yang berkemungkinan berlaku di sebuah ladang komersial.

Awal bulan ini, Brazil — pengeksport ayam terbesar di dunia — melaporkan satu wabak di sebuah ladang di bandar selatan Montenegro, yang membawa kepada sekatan perdagangan beberapa negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menurut data yang dikeluarkan Kementerian Pertanian Brazil, kes terbaharu burung liar dikesan di Mateus Leme, sebuah bandar di negeri Minas Gerais di tenggara Brazil.

Fávaro menyifatkan kes jangkitan itu perlu dianggap sebagai sesuatu yang "semula jadi" memandangkan Brazil kaya dengan spesies burung migrasi, yang lazimnya menjadi pembawa virus.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan kes baharu yang melibatkan kawanan ayam komersial di Rio Grande do Sul, lokasi yang sama dengan kejadian wabak di Montenegro sebelum ini.

Kes yang sedang disiasat itu berlaku di ladang komersial di bandar Anta Gorda, di mana Brazil sebelum ini telah mengesan wabak penyakit Newcastle di sebuah ladang ayam pada tahun lalu.

Brazil kini sedang menyiasat lebih 10 kemungkinan wabak selesema burung berpatogenik tinggi, namun hanya dua kes – termasuk di Anta Gorda – melibatkan ladang komersial.

Sementara itu, ujian awal terhadap satu lagi kes yang sedang disiasat di sebuah ladang komersial di negeri utara Tocantins menunjukkan keputusan negatif.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI