TOKYO, 23 Julai - Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun akan bekerjasama dengan lebih rapat untuk menghadapi tekanan ekonomi dan amalan perdagangan tidak adil.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, kerjasama tersebut penting memandangkan EU belum memuktamadkan perjanjian dagangan dengan Amerika Syarikat, manakala Jepun baru menandatangani perjanjian yang menyaksikan cukai import kereta dikurangkan sebagai pertukaran kepada pelaburan dan pinjaman.
"Kami akan perkuatkan keselamatan ekonomi antara EU dan Jepun," katanya selepas Sidang Kemuncak EU-Jepun bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Ishiba berkata, kedua-kedua pihak bersetuju mengekalkan sistem ekonomi global dan adil serta mengikut peraturan.
Beliau turut memaklumkan, EU dan Jepun akan bekerjasama dalam industri pertahanan serta memulakan rundingan bagi perjanjian keselamatan maklumat.