KHAN YOUNIS, 23 Julai - Lebih 100 pertubuhan bantuan dan hak asasi manusia menggesa tindakan segera bagi menangani krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing.
Dalam kenyataan bersama ditandatangani 111 organisasi, mereka menuntut gencatan senjata serta-merta dan berkekalan.
Antara pertubuhan terlibat termasuk Mercy Corps, Norwegian Refugee Council dan Refugees International.
Organisasi terlibat juga mendesak semua sekatan ke atas penghantaran bantuan kemanusiaan di Gaza dimansuhkan segera.
"Kebuluran besar-besaran sedang merebak berikutan ratusan tan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain masih terkandas di luar Gaza.
Sekatan yang dikenakan rejim ZIonis menyukarkan agensi kemanusiaan menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terperangkap," menurut kenyataan bersama organisasi tersebut.
Terdahulu, penduduk Gaza dilihat bergegas melalui kawasan letupan di jalan utama Khan Younis pada Rabu untuk mendapatkan bantuan.
Mereka kemudian pulang membawa guni yang dipercayai berisi bekalan asas untuk keluarga. - REUTERS