fb fb fb fb fb

Kereta api tergelincir, seorang penumpang maut 30 lagi cedera

(FOTO REUTERS)

THE HAGUE, 4 April- Seorang maut manakala sekurang-kurangnya 30 lagi cedera selepas kereta api penumpang tergelincir di selatan Belanda pada Selasa.

Perkhdimatan kecemasan memaklumkan, kereta api itu tergelincir selepas bertembung dengan peralatan pembinaan di laluan berhampiran perkampungan Voorschoten, antara The Hague dan Amsterdam.

"Sekurang-kurangnya 30 orang cedera dan sedang dirawat di tempat kejadian. Mereka yang cedera parah sedang dibawa ke hospital, manakala 11 berada di rumah penduduk berhampiran," kata perkhidmatan kecemasan Hollands Midden.

"Pakar sedang berusaha untuk mengamankan kereta api."

Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 3:30 pagi apabila kereta api dua tingkat antara bandar merempuh bahan binaan di landasan di Voorschoten, kira-kira lapan kilometer (lima batu) di utara The Hague.

Imej dari tempat kejadian dan laporan berita menunjukkan sebuah gerabak hadapan tergelincir dan terbabas ke ladang, manakala gerabak kedua tergelincir di sisinya.

Gerabak ketiga kekal dilandasan, manakala gerabak keempat terbakar, kata agensi berita ANP.

Kira-kira 60 orang berada dalam kereta api ketika kejadian.

Petugas kecemasan bergegas ke tempat kejadian, termasuk helikopter, untuk membawa penumpang yang cedera parah ke hospital.

Tidak dapat dipastikan seberapa serius kecederaan mereka.

“Kami mendengar bunyi dentuman kuat dan tiba-tiba lampu terpadam,” kata seorang saksi kepada berita televisyen tempatan Omroep West.

“Kami pada mulanya tidak dapat keluar daripada kereta api kerana tiada bekalan elektrik,” kata lelaki itu yang kelihatan dalam keadaan terkejut.- AFP


(FOTO REUTERS)

Media Baharu