fb fb fb fb fb

Penduduk berhampiran gunung berapi Colombia dipindahkan

(FOTO AFP)

BOGOTA, 4 April- Kira-kira 120 penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi Nevada del Ruiz di Colombia telah dipindahkan kelmarin, kata pegawai, selepas peningkatan aktiviti seismik di kawasan itu.

Letusan gunung berapi pada 1985 yang mengorbankan 25,000 orang dianggap sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah Colombia dan salah satu letusan paling dahsyat pada abad ke-20.

Gabenor jabatan Caldas, Luis Carlos Velasquez, memberitahu Blu Radio bahawa sekitar 40 keluarga yang tinggal berhampiran gunung berapi itu dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Beberapa rumah berhampiran kawah berasap tidak dapat dihubungi melalui telefon bimbit atau radio, menyukarkan untuk memberi amaran kepada mereka sekiranya berlaku kecemasan.

Baru-baru ini terdapat "peningkatan ketara dalam aktiviti seismik," kata kementerian lombong dalam satu kenyataan minggu lalu manakala perkhidmatan geologi SGC Colombia memberi amaran tentang "kemungkinan letusan dalam beberapa hari atau minggu."

Presiden Gustavo Petro dalam tweetnya berkata "Kami mempunyai amaran tahap jingga kerana perubahan dalam seismologi di gunung berapi Ruiz. Datuk Bandar mesti menyediakan protokol untuk keadaan berjaga-jaga ini."

Menurut unit pengurusan risiko bencana UNGRD Colombia, tahap jingga bermaksud kemungkinan letusan besar akan berlaku.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu