RIYADH, 6 Disember - Mesir, Qatar dan enam negara majoriti Islam lain menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan Israel untuk membuka laluan keluar satu hala bagi penduduk Palestin dari Gaza.
Menteri luar Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turki dan Emiriah Arab Bersatu menegaskan mereka menolak sebarang cubaan mengusir rakyat Palestin dan menentang paksaan terhadap penduduk Gaza untuk meninggalkan tanah mereka.
Kesemua menteri menggesa laluan Rafah dibuka dua hala selaras pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Pada Rabu, Israel menyatakan ia akan membuka laluan Rafah dari Gaza ke Mesir secara eksklusif bagi membolehkan penduduk meninggalkan wilayah Palestin.
Bagaimanapun, Mesir dengan segera menafikan persetujuan itu dan menegaskan laluan utama tersebut perlu dibuka secara dua hala.
Pembukaan semula laluan Rafah merupakan sebahagian daripada pelan damai Trump untuk wilayah Palestin serta telah lama digesa oleh agensi PBB dan badan kemanusiaan lain.
Sejak gencatan senjata Oktober berkuat kuasa, Israel masih menangguhkan perkara itu atas alasan Hamas gagal memulangkan semua mayat tebusan dan perlunya koordinasi dengan Mesir.-AFP