JEDDAH, 11 Jun - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyeru syarikat, pertubuhan dan ejen luar negara yang menguruskan jemaah Umrah agar mendokumenkan kontrak penginapan jemaah di kemudahan hospitaliti pelancongan yang berlesen oleh Kementerian Pelancongan melalui platform "Nusuk Masar".
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), langkah ini sebahagian usaha berterusan kementerian untuk memastikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada jemaah Umrah dan meningkatkan kecekapan operasi sepanjang musim Umrah.
Kementerian menjelaskan yang pengeluaran visa Umrah kini tertakluk kepada kewujudan kontrak penginapan yang sah dengan penyedia hospitaliti berlesen. Langkah ini bertujuan untuk mengawal selia sektor hospitaliti dan memastikan jemaah Umrah mendapat pengalaman yang selamat dan selesa dari ketibaan hingga mereka berlepas pulang.
Arahan ini mula berkuat kuasa bermula 14 Zulhijah 1446 Hijrah.
Pihak berkuasa menekankan kepentingan dokumentasi kontrak secara awal dan pematuhan ketat terhadap peraturan yang diluluskan bagi mengelakkan kelewatan dalam pengeluaran visa atau dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Keputusan ini mencerminkan kerjasama berterusan antara Kementerian Haji dan Umrah serta Kementerian Pelancongan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan, melindungi hak jemaah Umrah, dan mencegah amalan yang boleh menjejaskan pengalaman mereka. - BERNAMA