fb fb fb fb fb

Kembalikan undang-undang jadi keutamaan kerajaan sementara Bangladesh

Foto REUTERS

DHAKA, 10 Ogos-Memulihkan undang-undang dan peraturan di Bangladesh menjadi keutamaan kerajaan sementara, kata penasihat kepada kementerian Dalam Negeri pada Jumaat.

Suasana di negara itu kembali normal selepas bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebelum melarikan diri ke India.

Hasina melarikan diri ke India pada Isnin seminggu selepas rusuhan berdarah yang meragut kira-kira 300 pelajar dan mencederakan ratusan yang lain.

Kerajaan sementara yang diketuai oleh pemenang Nobel Keamanan, Muhammad Yunus mempunyai tugas berat untuk mengadakan pilihan raya baharu dalam tempoh tiga bulan.

Jeneral bersara, . M. Sakhawat Hossain berkata kepada Reuters bahawa kerajaan sementara itu akan cuba memulihkan undang-undang dan ketenteraman Negara Asia Selatan berkenaan.

"Keduanya, adalah untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang yang selama ini sangat rendah", katanya dalam temubual menerusi telefon.

Kejatuhan Hasina mencetuskan kegembiraan serta keganasan apabila orang ramai menggeledah kediaman rasminya di sini. Manakala patung bapanya, wira kemerdekaan Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman, telah dirosakkan dan diturunkan di seluruh negara.

Anarki, vandalisme, rompakan serta keganasan di beberapa rumah ibadat dilaporkan berleluasa di Bangladesh sejak kebelakangan ini.

Hossain berkata kerajaan sementara sangat prihatin terhadap laporan vandalisme dan serangan ke atas golongan minoriti walaupun ia dilihat seperti sengaja diperbesar-besarkan.

Majlis Perpaduan Kristian Hindu Buddha Bangladesh menulis kepada Yunus pada Jumaat mendakwa beratus-ratus kuil dan rumah ibadat telah diserang dan memintanya agar melindungi golongan minoriti berkenaan.

Pemerhati hak asasi antarabangsa berkata kerajaan pimpinan Muhammad Yunus perlu menangani pelanggaran undang-undang tersebut.

"Adalah penting untuk segera membawa ketenteraman awam dan melindungi masyarakat yang terdedah, termasuk minoriti Hindu, yang diserang," kata Meenakshi Ganguly, timbalan pengarah Asia bagi badan hak asasi manusia itu.

Penganut Hindu membentuk kira-kira 8% daripada 170 juta penduduk Bangladesh yang majoritinya Islam dan sebahagian besarnya menyokong parti Liga Awami pimpinan Hasina.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD