KIEV, 4 Mac- Kes pembunuhan orang awam di bandar Bucha berhampiran ibu negara Ukraine disifatkan sebagai pembunuhan terancang.
Demikian menurut Menteri Luar, Dmytto Kuleba selepas menyaksikan pengunduran tentera Rusia dari kawasan berkenaan.
Menerusi ciapan di Twitter, Kuleba memberitahu Rusia cuba menghapuskan lebih ramai rakyat Ukraine sekali gus beliau mendesak agar sekatan daripada G7 dapat disegerakan.
Dalam perkembangan sama, Penasihat Presiden Ukraine, Mykhaylo Podolyak, juga menganggap wilayah Kyib bagaikan neraka pada abad ke-21.
"Mayat lelaki dan wanita dibunuh dengan tangan mereka terikat. Jenayah paling teruk ketika zaman Nazi sudah kembali ke Eropah.
"Ini sengaja dilakukan oleh Rusia, sekatan terhadap sumber tenaga dan penutupan pelabuhan perlu dilaksanakan. Hentikan pembunuhan," katanya menerusi ciapan di Twitter.
(Mangsa pembunuhan akibat konflik Ukraine-Rusia - Foto AFP)
Di Bucha, mayat lebih 300 orang awam ditemui dalam kubur besar selepas pengunduran tentera Rusia.
Bahkan petugas media mengesahkan mereka melihat sekurang-kurangnya 20 mayat di jalanan antaranya dengan tangan terikat kain putih, di samping pasport Ukraine ditemui bersebelahan mayat terbabit.
Ketua Kesatuan Eropah (EU), Charles Michel, merayu supaya sekatan dikenakan terhadap Moscow selain mengecam tindakan kejam dilakukan tentera Rusia. -AFP