(Pasukan penyelamat membantu sebuah keluarga keluar dari bot
di Quicksand, Kentucky pada 28 Julai 2022/AFP)
AMERIKA SYARIKAT, 30 Julai- Angka kematian akibat banjir buruk di Kentucky mencecah 16 orang.
Gabenor Kentucky, Andy Beshear dalam taklimat media berkata angka itu dijangka meningkat dua kali ganda.
Beliau menyatakan, enam dari 16 yang disahkan maut merupakan kanak-kanak termasuk empat dari keluarga yang sama.
Setakat ini beratus-ratus orang telah diselamatkan dengan bot sejak banjir bermula pada petang Rabu lalu.
Kira-kira 50 misi penyelamatan udara dilaksana menggunakan helikopter Pengawal Kebangsaan.
"Dengan banyak jalan yang rosak kami masih tidak dapat menemui ramai orang.
"Arus sangat deras dan tidak selamat untuk beberapa penyelamatan air yang perlu kami lakukan," kata gabenor itu.
(Pemandangan udara rumah yang ditenggelami air
di Jackson, Kentucky pada 28 Julai 2022/AFP)
Wilayah Appalachia di timur Kentucky pernah mengalami banjir kilat sebelum, namun tidak seperti yang dialami kali ini.
"Terdapat rumah yang dihanyutkan sepenuhnya pada tengah malam ketika penghuni sedang tidur," kata Beshear.
Paras air Sungai Kentucky di Whitesburg meningkat kepada 20 kaki dalam beberapa jam, jauh melebihi rekod sebelumnya iaitu 14.7 kaki.-AFP