(Penduduk menyaksikan kebakaran hutan berhampiran rumah mereka di Wrightwood, California/REUTERS)
LOS ANGELES, 14 Jun- Kebakaran hutan di pinggir Los Angeles merebak luar kawalan selepas suhu panas merekodkan paras tertinggi pada hujung minggu, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran tentang bahaya kebakaran di seluruh bahagian barat Amerika Syarikat yang sedang mengalami cuaca kering.
Hampir 1,000 ekar (400 hektar) kawasan hutan hangus sejak kebakaran tercetus di Taman Negara Los Angeles pada petang Sabtu.
Beribu-ribu penduduk kejiranan Wrightwood diberi amaran mengosongkan rumah mereka, dengan api hanya dapat dikawal lima peratus.
Anggota bomba yang memadam kebakaran berkata ia telah merebak ke kawasan yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan.
"Bentuk muka bumi ini sangat curam, ia adalah kawasan yang teruk," kata Alison Hesterly dari Cal Fire San Bernardino kepada Los Angeles Times.
Lebih 200 anggota bomba sedang memadamkan kebakaran, termasuk dari udara.
(Sebuah jentera bomba dilihat sedang memadam kebakaran/AP)
"Mereka benar-benar memberi tumpuan keras di kawasan barat laut dan selatan untuk mengawal kebakaran dan berharap angin tidak akan meniup api keluar dari garisan pembendungan," kata Hesterly.
"Itulah tumpuan yang besar untuk hari ini, melindungi kawasan berisiko tinggi dengan talian hos dan peralatan tangan."
Video di media sosial menunjukkan api yang menjulang tinggi mencengkam pokok dan ditiup angin kencang.
Kebakaran itu tercetus ketika beberapa kawasan di California dan bahagian Barat mengalami cuaca panas melampau, dengan suhu di Palm Springs pada hari Sabtu mencecah rekod baharu, 114 Fahrenheit (45.5 Celsius).
Bahagian Barat Daya mengalami kemarau yang berlaku hanya sekali dalam seribu tahun, menyebabkan tumbuh-tumbuhan menjadi sangat kering dan mudah terbakar. - AFP