fb fb fb fb fb

Kem musim panas PBB beri kehidupan sebenar zaman kanak-kanak

GAZA, 12 Julai - Lebih 130,000 kanak-kanak Palestin di Gaza menyertai kem musim panas yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Program selama empat minggu itu, membolehkan mereka menikmati zaman kanak-kanaknya dan ketenangan ketika tanah air mereka dilanda konflik dengan Israel.

Pelbagai aktiviti disediakan termasuk penghijauan, kitar semula, sukan, lukisan, kraftangan dan pembelajaran bahasa, kata agensi itu.

Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) berkata, kajian agensi baru-baru ini mendapati 38% kanak-kanak di Gaza menunjukkan gejala gangguan fungsi yang menjejaskan kehidupan seharian mereka.

UNRWA mengendalikan 284 sekolah di Gaza, membantu sekurang-kurangnya 290,000 pelajar.

(FOTO REUTERS)

"Perkara yang paling penting ialah 130,000 kanak-kanak mendapat peluang hanya untuk menjadi kanak-kanak walaupun dalam keadaan ekonomi, walaupun konflik berterusan, mereka boleh datang ke minggu musim panas UNRWA dan hanya menjadi kanak-kanak," kata Thomas White, Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Gaza.

Rakyat Palestin telah melalui beberapa peperangan dengan Israel sejak 2008, termasuk lima hari pertempuran pada Mei memberi gambaran, konflik tidak bepenghujung.

Bantuan kesihatan mental terhadap kanak-kanak Palestin amat diperlukan.

"Saya ke sini untuk menghiburkan diri daripada perkara yang pernah saya alami seperti peperangan dan konflik yang saya saksikan. Saya mungkin tidak seperti kanak-kanak lain (dunia) tetapi saya cuba kekal positif walau apa pun yang berlaku," Joanna El-Halabi memberitahu Reuters di sebuah sekolah di kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza.

Aktiviti itu mewujudkan kira-kira 3,000 pekerjaan jangka pendek untuk belia Gaza, kata UNRWA. - REUTERS

Media Baharu