OTTAWA, 17 Jun - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa penduduk Tehran agar segera meninggalkan bandar itu.
Kenyataan itu dimuat naik di akaun Truth Social miliknya selari amaran yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai tanda serangan terbaharu berskala besar akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Semua orang harus segera keluar dari Tehran!” demikian hantaran yang dimuat naik Trump di akaun Truth Social miliknya ketika sedang menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Negara Tujuh (G7) di Kanada.
Terdahulu, tentera Israel turut mengeluarkan notis supaya penduduk di salah satu daerah di Tehran berpindah, satu pendekatan yang menyerupai taktik mereka di Gaza di mana majoriti rakyat Palestin telah dipaksa meninggalkan kediaman sejak serangan 7 Oktober 2023.
Walaupun Trump berulang kali enggan mengesahkan sama ada AS akan menyertai operasi ketenteraan Israel, beliau tetap menegaskan bahawa Washington tidak terlibat dalam serangan awal yang berlaku Jumaat lalu.
Sementara itu, Setiuasaha Akbar White House Karoline Leavitt dalam statusnya di X memaklumkan Trump bakal meninggalkan Sidang Kemuncak G7 sehari lebih awal susulan ketegangan yang kian memuncak antara Israel-Iran.
"Presiden Trump akan bergerak pulang malam ini selepas majlis makan malam bersama-sama pemimpin-pemimpin negara G7," jelas Karoline dalam status yang dimuat naiknya. - AFP