fb fb fb fb fb

Kedutaan Israel di Romania dibaling molotov cocktail

Bangunan kedutaan Israel di Bucharest

BUCHAREST, 3 Jun- Kedutaan Israel di Bucharest dikejutkan dengan kejadian dibaling molotov cocktail oleh seorang lelaki pada Isnin.

Polis tempatan bagaimanapun memaklumkan hasil siasatan tidak menunjukkan kaitan dengan perang di Gaza.

"Pasukan antikeganasan Romania menahan lelaki berusia 34 tahun itu yang mengancam untuk membakar dirinya dan cuba menyebabkan kerosakan dengan bom molotov," kata jurucakap perkhidmatan perisikan negara itu.

Pasukan antikeganasan, ditugaskan ke lokasi kejadian untuk memastikan keselamatan, memadamkan kebakaran yang terhasil, namun tidak menyebabkan kerosakan besar.

Media melaporkan lelaki itu merupakan warga Syria.

Jurucakap polis Romania, Georgian Dragan memberitahu televisyen Digi24 bahawa menurut penyiasatan setakat ini, serangan itu tidak berkaitan dengan perang Israel di Gaza, sebaliknya berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana dia tidak mendapat visa.

Bulan lalu, tembakan kedengaran berhampiran kedutaan Israel di Stockholm. Pada akhir Januari, skuad bom memusnahkan bom hidup di sebuah bangunan kedutaan.

Sementara itu pada Mac, polis Belanda turut menahan seorang individu yang disyaki membaling objek terbakar di kedutaan Israel di The Hague.

Serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 36,479 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE