fb fb fb fb fb

Kebakaran kelab malam, angka kematian meningkat kepada 15 orang

(FOTO AFP)

CHONBURI, 7 Ogos- Angka kematian akibat kebakaran sebuah kelab malam di Thailand, meningkat kepada 15 orang, selepas seorang individu berusia 36 tahun meninggal dunia di Hospital Rayong.

Kematian terbaharu itu disahkan oleh Sattahip Rescue.

Dalam kejadian pukul 1.00 pagi pada Jumaat, 13 pengunjung, masing-masing sembilan lelaki dan empat wanita, maut manakala 35 yang lain cedera dalam kebakaran di kelab malam Mountain B yang sesak di wilayah Chonburi, tenggara ibu kota Bangkok.

Timbalan Pengarah Hospital Tentera Laut Queen Sirikit, Dr Nongluck Singhakowin berkata 16 daripadanya cedera parah.

"Kebanyakannya mengalami luka terbakar tahap tiga pada lebih 60% badan mereka dan masih menggunakan ventilator di unit rawatan rapi," lapor AFP.

Menurut saksi, kebakaran bermula semasa persembahan muzik secara langsung, dengan penonton yang panik cuba melarikan diri melalui pintu depan apabila api merebak dengan pantas.

Video di media sosial menunjukkan asap hitam tebal berkepul-kepul muncul dari pintu ketika beberapa pengunjung dilihat berlari keluar dengan pakaian mereka terbakar.

Berikutan kebakaran itu juga, Ketua Pegawai Daerah Sattahip, Chatchai Sripoon telah dipindahkan ke Institut Pembangunan Pentadbiran di bawah Jabatan Pentadbiran Wilayah.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu