fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan utara California, 4000 penduduk berpindah

Kebakaran hutan di Butte County/ AFP

LOS ANGELES, 27 Julai- Kebakaran hutan di utara California memaksa lebih 4,000 penduduk sekitarnya berpindah ke kawasan lebih selamat.

Pihak bomba terpaksa berhadapan dengan gelombang kebakaran yang besar dan pantas, susulan tiupan angin kencang, keadaan kering dan gelombang haba yang tinggi melanda kawasan tersebut.

Sehingga kini, kira-kira 164,000 ekar kawasan musnah dijilat api.

"Kebakaran ini telah merebak pada keluasan 4,000 hingga 5,000 ekar sejam," kata komander Billy See pada sidang media petang Jumaat.

Menurut pihak berkuasa, kebakaran turut memusnahkan lebih 134 bangunan dan pelbagai struktur di kawasan tersebut.

Bomba dengan kekuatan 1,600 anggota masih gagal mengawal kebakaran.

Ketua Bomba Daerah Butte Garrett Sjolund berkata ramai lagi yang telah diselamatkan.

"Ia adalah kebakaran yang mencabar strategi kami, tetapi kami mencari peluang untuk menggunakan sumber kami dengan cara yang berkesan," kata Sjolund kepada pemberita.

Seramai 4,000 orang telah dipindahkan di bandar Cohasset dan Forest Ranch, termasuk 400 lagi dari bandar Chico.

Kebakaran yang bermula Rabu lalu berhampiran Chico, di Butte County dan dalam beberapa jam telah memusnahkan kawasan yang luas di kawasan itu dan di Tehama County yang berdekatan.

Hanya dalam masa dua hari, kebakaran tersebut telah menjadi kebakaran ke-20 terbesar dalam sejarah California yang melibatkan kawasan darat.

Jabatan bomba dari seluruh negeri telah menghantar pasukan penyelamat untuk menghulurkan bantuan.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan telah mengeluarkan amaran bendera merah untuk wilayah itu hingga Jumaat lalu dan meramalkan keadaan cuaca kritikal.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun kerana disyaki menjadi punca kebakaran kerana menolak sebuah kereta yang terbakar ke dalam sebuah gaung.

Pendakwaraya Butte County, Mike Ramsey mengenal pasti lelaki itu sebagai Ronnie Dean Stout II dan memaklumkan dia akan ditahan tanpa jaminan sehingga hadir ke mahkamah minggu depan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN