MARSEILLE, 9 Julai -Kebakaran hutan besar yang melanda kawasan selatan Perancis pada Selasa masih belum dapat dikawal sepenuhnya.
Demikian menurut Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau semasa melawat pusat kawalan bomba di kawasan terjejas.
Beliau berkata, seramai 400 orang telah dipindahkan dan sebanyak 63 buah rumah mengalami kerosakan, termasuk beberapa buah rumah musnah sepenuhnya akibat kebakaran yang berlaku di kawasan utara Marseille.
“Kira-kira 100 orang mengalami kecederaan ringan, termasuk anggota pasukan penyelamat."
"Setakat ini tiada kematian dilaporkan dan itu sesuatu yang amat luar biasa memandangkan skala kebakaran ini,” tambahnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Marseille, Benoît Payan, menerusi kenyataan di platform X, memberi amaran bahawa kebakaran kini telah menghampiri pintu masuk Marseille.
Beliau turut menyeru penduduk di kawasan utara bandar supaya tidak menggunakan jalan raya bagi membolehkan pasukan penyelamat menjalankan tugas mereka tanpa halangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Pennes-Mirabeau memaklumkan bahawa penduduk di dua kawasan perumahan juga telah dipindahkan.
Manakala pasukan bomba ditempatkan di luar sebuah rumah penjagaan warga emas bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan tersebut.-AFP