fb fb fb fb fb

Banjir Texas: Keluarga warga Mexico hilang rayu bantuan kerajaan Mexico

Seorang lelaki mencari mangsa banjir yang hilang berdekatan kereta yang remuk di Sungai Guadalupe/ Foto AFP

TEXAS, 9 Julai – Keluarga kepada rakyat Mexico yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir kilat di Texas, merayu bantuan daripada kerajaan Mexico bagi mengesan ahli keluarga mereka, ketika angka korban meningkat kepada sekurang-kurangnya 109 orang dan lebih 180 lagi masih hilang.

Antara yang hilang ialah Leonardo Rangel, isterinya dan anak mereka yang berusia dua tahun. Menurut bapa saudara mangsa, Jose Romero, keluarga itu dilaporkan hilang selepas banjir besar tersebut. Anak sulung pasangan itu dilaporkan terselamat.

Keluarga Rangel yang berasal dari komuniti San Miguel de Allende, mengetahui berita kehilangan mereka melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp, menurut laporan media tempatan Mexico.

Datuk Bandar San Miguel de Allende, Mauricio Trejo, dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin, menyatakan bahawa pihak berkuasa sedang memberi perhatian serius terhadap insiden tersebut.

“Kami bersedia menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada keluarga rakan senegara kita yang sedang menghadapi detik sukar ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kebanyakan mangsa yang terkorban serta usaha pencarian tertumpu di Kerr County, terutamanya di bandar Kerrville, yang mempunyai kira-kira 25,000 penduduk. Kawasan itu kini berubah menjadi zon bencana selepas hujan lebat luar biasa menyebabkan banjir besar di lembangan Sungai Guadalupe pada awal pagi Jumaat lalu.

Gabenor Texas, Greg Abbott, dalam kenyataannya pada Selasa menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam misi menyelamat.

“Kita mesti menemui setiap individu yang masih hilang. Itu adalah keutamaan,” katanya.

Pihak berkuasa penyelamat kini masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat, manakala bantuan kemanusiaan mula disalurkan kepada mangsa yang terselamat. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN