fb fb fb fb fb

Gempa bumi gegar Guatemala, tiada kematian dilaporkan

Sebuah rumah runtuh akibat gempa bumi di kejiranan Santa Fe di Guatemala City/ Foto AFP

GUATEMALA CITY, 9 Julai – Beberapa rumah runtuh dan jalan raya terhalang akibat tanah runtuh susulan siri gempa bumi yang melanda selatan Guatemala pada Selasa, namun pihak berkuasa mengesahkan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Menurut Institut Seismologi Guatemala, gempa utama dengan kekuatan 5.2 magnitud berlaku pada waktu tengah hari kira-kira 60 kilometer dari ibu negara, Guatemala City.

Presiden Bernardo Arevalo dalam satu sidang media secara langsung memaklumkan bahawa sekitar 37 gegaran susulan turut direkodkan dengan kekuatan antara 3.9 hingga 5.6 magnitud.

Arevalo berkata kebanyakan kerosakan adalah berskala kecil, namun terdapat beberapa rumah jenis 'adobe' yang runtuh serta beberapa insiden tanah runtuh yang menyebabkan laluan utama terhalang.

Di bandar Santa Maria de Jesus, yang terletak kira-kira 49 kilometer dari ibu negara, rakaman video menunjukkan beberapa bangunan mengalami kerosakan dan pokok tumbang.

Tambah beliau, sekurang-kurangnya dua mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan manakala usaha menyelamat tiga lagi mangsa masih dijalankan oleh pasukan penyelamat.

Susulan kejadian, Penyelaras Kebangsaan Bagi Pengurangan Bencana(CONRED) mengumumkan penggantungan kelas dan semua aktiviti institusi awam pada Rabu di tiga wilayah yang terjejas, termasuk Sacatepequez, bagi membolehkan pasukan teknikal menjalankan penilaian kerosakan secara menyeluruh. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN