WASHINGTON, 9 Julai – Penumpang penerbangan di Amerika Syarikat (AS) tidak lagi diwajibkan menanggalkan kasut ketika melalui pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang, menurut kenyataan Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, pada Selasa.
Pengumuman tersebut menandakan penamatan dasar pemeriksaan kasut yang telah dikuatkuasakan oleh Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) selama hampir dua dekad.
Polisi tersebut mula dikuatkuasakan pada Ogos 2006 sebagai langkah mengesan bahan letupan yang disembunyikan dalam kasut penumpang.
Ia dilaksanakan hampir lima tahun selepas insiden serangan 11 September 2001 dan susulan cubaan serangan oleh Richard Reid, individu yang dikenali sebagai 'pengebom kasut' yang menggunakan mancis untuk menyalakan bahan letupan tersembunyi dalam kasutnya ketika menaiki penerbangan dari Paris ke Miami.
Pada tahun 2013, TSA melancarkan program 'PreCheck Trusted Traveler' yang membolehkan ahlinya tidak perlu menanggalkan kasut semasa pemeriksaan keselamatan.
Selain itu, kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun serta warga emas berumur 75 tahun ke atas juga dikecualikan daripada keperluan berkenaan. -REUTERS