fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di pulau Sepanyol, 500 terpaksa dipindahkan

FOTO REUTERS

BARCELONA, 15 Julai- 500 orang terpaksa dipindahkan berikutan kebakaran hutan yang berlaku di pulau La Palma, Sepanyol.

Menurut pihak berkuasa, situasi itu merupakan krisis semula jadi pertama di pulau berkenaan, sejak letusan gunung berapi pada tahun 2021.

Kebakaran bermula pada awal pagi Sabtu di El Pinar de Puntagorda, kawasan berhutan di utara pulau di Canaries, ketika banyak bandar Eropah bersiap sedia untuk menghadapi panas melampau pada minggu akan datang.

Presiden Kepulauan Canary, Fernando Clavijo berkata sekurang-kurangnya 11 rumah musnah ketika kebakaran semakin marak.

"Jumlah orang yang perlu dipindahkan boleh mencecah 1,000. Ia bergantung kepada sama ada kita boleh mengawal angin kencang ini," kata Clavijo kepada pemberita di La Palma.

Tambahnya, kira-kira 140 hektar (346 ekar) tanah musnah dalam kebakaran itu.

Empat helikopter dan empat unit pemadam kebakaran di darat sedang berjuang untuk mengawal kebakaran di pulau itu, yang merupakan sebahagian daripada kepulauan Sepanyol di luar pantai barat Afrika.

Pihak berkuasa di pulau itu sedang mendapatkan bantuan daripada pulau lain seperti Gomera dan Tenerife.

Pada September 2021, lebih 2,000 bangunan musnah dan beribu-ribu orang terpaksa meninggalkan rumah mereka apabila lava mula mencurah keluar dari gunung berapi Cumbre Vieja.

Letusan berterusan selama tiga bulan dan abu daripada lava menyaluti kawasan sekitar dengan selimut berjelaga debu hitam tebal.- REUTERS


(FOTO REUTERS)

Media Baharu