OTTAWA, 18 Ogos- Beribu-ribu penduduk Yellowknife diarah berpindah pada Rabu, ekoran kebakaran besar di utara Kanada.
Mereka diberi masa sehingga esok untuk meninggalkan kediaman.
Penduduk, Julie Downes yang dihubungi menerusi panggilan telefon menggambarkan asap tebal boleh dilihat akibat kebakaran hutan di sepanjang lebuh raya.
"Memang sangat menakutkan...dan kini kami menjadi pelarian perubahan iklim," katanya.
Nadia Byrne, 24, pula mempertimbangkan untuk berpatah balik tetapi khuatir mungkin kehabisan minyak dan terkandas.
"Saya tidak tahu hendak pergi ke mana...semua orang hanya berebut-rebut sekarang," katanya kepada AFP.
Tiffany Champagne; merupakan salah seorang daripada mereka yang bersesak-sesak di lapangan terbang Yellowknife menunggu penerbangan pertama berlepas pada 1.00 tengah hari.
"Saya menghidap asma dan asap kebakaran menjadikan situasi ini semakin sukar untuk melakukan apa-apa," katanya yang mengenakan pelitup muka kepada penyiar awam CBC.
(Imej satelit yang diambil pada 16 Ogos 2023
menunjukkan kebakaran sedang marak di Yellowknife/Foto AFP)
Sementara itu, Datuk Bandar Yellowknife, Rebecca Alty memberi amaran kebakaran hutan kian marak dan berkemungkinan sampai ke pinggir bandar menjelang hujung minggu ini.
Lebih 120 anggota tentera dikerah membantu bomba memadamkan api.
Orang awam yang menggunakan lebuh raya dinasihatkan berhati-hati kerana asap tebal menyebabkan jarak penglihatan pemandu menjadi terhad.
Sehingga Khamis, lebih daripada 1,000 kebakaran hutan berlaku di Kanada, termasuk kira-kira 230 di Wilayah Barat Laut.-AFP