fb fb fb fb fb

Paras air laut di Pasifik Barat Daya meningkat, ancam pulau-pulau rendah - WMO

FOTO REUTERS

GENEVA, 18 Ogos- Agensi Meteorologi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan pada Jumaat bahawa paras air laut di kawasan Pasifik Barat Daya meningkat lebih cepat daripada purata global sekali gus mengancam pulau-pulau yang rendah.

Selain itu, kesan haba turut menjadi faktor utama dalam menjejaskan ekosistem marin.

Dalam laporan Keadaan Iklim di Pasifik Barat Daya 2022, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) berkata paras air meningkat kira-kira 4 mm setahun di beberapa kawasan, sedikit lebih daripada kadar purata global.

Situasi itu dijangka membawa risiko kepada wilayah rendah seperti Tuvalu dan Kepulauan Solomon dari masa ke masa boleh mengakibatkan banjir, memusnahkan tanah pertanian dan menggesa penduduk meninggalkan tanah yang mereka diami untuk berpindah ke tempat lebih tinggi.

Laporan itu menambah bahawa gelombang haba marin telah berlaku di kawasan besar di timur laut Australia dan selatan Papua New Guinea selama lebih enam bulan, menjejaskan hidupan marin dan mata pencarian masyarakat tempatan.

Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas berkata bahawa El NiƱo telah menjadi punca kepada pemanasan suhu permukaan air di timur dan tengah Lautan Pasifik tahun ini, akan memberi kesan kuat kepada rantau ini.


(Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas/AFP)

"Ini akan memberi impak besar kepada wilayah Pasifik Barat Daya kerana ia sering dikaitkan dengan suhu yang lebih tinggi, corak cuaca yang mengganggu dan lebih banyak gelombang haba marin dan pelunturan karang," kata Taalas dalam satu kenyataan.

Jelas laporan itu lagi, tahun lalu, wilayah itu merekodkan 35 kes bencana termasuk banjir dan ribut, yang mengorbankan lebih 700 orang secara tidak langsung menjejaskan lebih daripada 8 juta orang.

Kerosakan banjir, termasuk di Australia dan Filipina, berjumlah $8.5 bilion, hampir tiga kali ganda pada tahun sebelumnya. - REUTERS

Media Baharu