fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Hawaii, lebih 66 orang dilapor masih hilang

 (Pasukan mencari dan menyelamat menjalankan operasi di kawasan yang
rosak akibat kebakaran hutan Maui di Lahaina, Hawaii pada 15 Ogos 2023/Foto Reuters)

HONOLULU, 9 September- Lebih 66 orang dilaporkan masih hilang selepas kebakaran hutan yang mengerikan berlaku di Hawaii, bulan lalu.

Gabenor Hawaii, Josh Green berkata kebakaran pada 8 Ogos di Pulau Maui telah mengakibatkan 115 orang maut, manakala ribuan lagi harta musnah.

"Terdapat sejumlah 115 kematian...pasukan penyiasat melaporkan lebih 66 masih tidak dapat diketahui keberadaaan mereka berdasarkan panggilan dan e-mel yang diterima.

"Jumlah yang pada mulanya melebihi 3,000...kemudian menurun kepada 385 minggu lepas dan sekarang seramai 66.

"Jabatan Polis Maui terus membuat kemajuan harian mengenai laporan kehilangan dan menggalakkan orang ramai berkongsi maklumat mengenai kehilangan ahli keluarga," katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

(Gabenor Hawaii, Josh Green/Foto Reuters)

Tambah Green, bermula 8 Oktober depan semua sekatan perjalanan akan berakhir dan Maui Barat sekali lagi dibuka kepada pelawat.

Mereka yang dari Hawaii dan seluruh dunia boleh meneruskan perjalanan ke tempat istimewa tersebut dan membantunya pulih dari segi ekonomi.

"Ramai mangsa yang terselamat bertanya bila mereka boleh pulang ke rumah, selain membolehkannya meninjau kerosakan hartanah dan perniagaan.

"Saya perlu berkongsi ini dengan anda. Abu kebakaran...kami diberitahu, agak toksik, jadi kami perlu berhati-hati. Sebaik sahaja EPA (Agensi Perlindungan Alam Sekitar) menyelesaikan penyingkiran bahan berbahaya dari kawasan yang terjejas (sedang berjalan)...proses ini akan mengambil masa 3 hingga 4 bulan, kita boleh memulakan penyingkiran serpihan lain.

"Orang ramai akan dibenarkan masuk tidak lama lagi, tetapi penyingkiran serpihan akan mengambil masa yang lama," menurut Green.-REUTERS

Media Baharu