fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan Alberta di Kanada dikhuatiri merebak

(Kepulan asap kelihatan di lokasi kebakaran Paskwa dekat Fox Lake, Alberta, Kanada/ REUTERS)

OTTAWA, 19 Mei- Lebih banyak kawasan hutan di Alberta berisiko terbakar dalam tempoh beberapa hari ini kerana cuaca panas dan kering, sekali gus menjejaskan pengeluaran gas asli dari Kanada ke Amerika Syarikat (AS), yang boleh mendorong kenaikan harganya.

Menurut Refinitiv, jumlah gas yang dihasilkan dari Kanada ke AS turun ke paras terendah dalam tempoh 25 bulan iaitu 6.4 bilion kaki padu sehari pada Rabu, disebabkan kebakaran hutan.

Rekod suhu yang tinggi menyumbang kepada musim kebakaran hutan di barat Kanada, malah ramalan cuaca juga tidak menjangkakan keadaan boleh bertambah baik sekurang-kurangnya hingga minggu depan.

Wilayah Alberta, sebuah kawasan kaya dengan minyak, paling teruk terjejas menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah dari kediaman masing-masing.

Kebakaran hutan juga dilaporkan merebak di negara jiran British Columbia, serta di wilayah Saskatchewan dan Manitoba.

Pihak berkuasa Alberta memaklumkan terdapat kira-kira 92 kebakaran hutan dan 10,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing sehingga semalam.

Pembatalan arahan pemindahan bagaimanapun membantu mengurangkan jumlah mangsa daripada lebih 17,000 awal minggu ini.


(Anggota Canadian Briged Group (CBG) memadamkan kebakaran hutan di Drayton Valley, Alberta, Kanada/ REUTERS)

Sementara itu, pengurus unit maklumat di jabatan kebakaran hutan Alberta, Christie Tucker, berkata operasi memadamkan kebakaran dilihat lebih mencabar dalam cuaca panas, kering dan berangin.

"Namun, kita berjaya mencatatkan kemajuan di lokasi kebakaran yang aktif," katanya.

Tambah beliau, sehingga kini hampir 2,700 anggota bomba, termasuk kakitangan dari agensi di Kanada dan AS, selain pihak tentera sedang memerangi kebakaran hutan dan lebih ramai lagi dijangka menyertai operasi selepas ini.

"Kami bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan berlaku lebih banyak kebakaran hutan dalam tempoh beberapa hari akan datang," katanya.

Kebakaran hutan memaksa firma minyak dan gas mengurangkan pengeluaran kepada sekurang-kurangnya 319,000 tong pengeluaran minyak sehari (boepd), atau 3.7 peratus daripada jumlah keseluruhan keluaran negara.

Firma perunding Rystad Energy menganggarkan hampir 2.7 juta tong sehari (bpd) penghasilan minyak Alberta pada bulan Mei berisiko untuk berada dalam zon penarafan tahap bahaya 'tinggi' atau 'terlalu tinggi' akibat kebakaran yang melampau. - REUTERS

Media Baharu